Showing posts with label Muhyiddin. Show all posts
Showing posts with label Muhyiddin. Show all posts

Saturday, June 26, 2010

Sultan Johor mahu projek jambatan dipertimbang semula

Saya di JB pagi tadi (7.30pg dah sampai!) apabila Sultan Ibrahim Ismail menitahkan bahawa kerajaan persekutuan harus menimbangkan semula projek Jambatan di tambak Johor.
Tuanku tidak menjelaskan sama ada mahukan jambatan 'bengkok' atau jambatan penuh dengan Singapura.
Beliau menitahkan demikian semasa melancarkan JB Sentral, pusat pengangkutan keretapi-bas di tepi CIQ Johor (Bangunan Sultan Iskandar).
Hadir di majlis di tingkat 3 JB Sentral itu ialah Timbalan PM Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Abdul Ghani Othman.

Selepas pelancaran, Sultan Johor turun ke bawah pandu sendiri keretapi Blue Tiger KTM ke Kulai.
Saya tak ikut naik train tapi berkereta dengan wartawan lain. Selepas terlajak dan sesat beberapa kali, dapat juga kami berjumpa Kampung Pertanian di Kulaijaya.
Mesra rakyat ialah yang dibisikkan oleh rakyat Johor yang sempat saya interview.
Bertemasya satu kampung di situ, dengan gerai-gerai dan ramai orang di sana.
Tuanku membawa sultanah dan juga anakandanya semua.
Mereka kemudian naik Blue Tiger dan terus ke Kluang, untuk bermalam di sana.
Esok/Ahad, rombongan akan ke Segamat dalam upacara Kembara Mahkota 2010. Program dimulakan tahun 2001 lagi, dengan menaiki Harley beramai-ramai dulu.

Dulu PAS dan Hassan Ali ada program serupa di Selangor. Ceramah lepas tu 'tidur bersama rakyat'.
Dan Pemuda Umno dulu ada program 'Pemuda masuk kampung'.
Ada lagi tak?

Monday, January 18, 2010

Psst, nak dengar dongeng....

Ada setan berbisik:
Ini rancangannya.
Umat Islam dah 'kalah' di mahkamah.
Dah marah.
Kerajaan dah buat rayuan.
Muslim geram, Kristian marah.
Satu negeri sedih.
Satu dunia heboh.

Nampak s l o w kerajaan nak menangani isu.
Tak nak tunjuk benda ni besar mana.
Biar mahkamah sendiri tetap tarikh nak buat keputusan.
Sah mahkamah independent.

Nazri Aziz terbangkan belon di udara.
Nak lihat angin bertiup ke mana di pihak Muslim dan Kristian.
Minggu lalu kata Sabah dan Sarawak semuanya OK.
Hari ini pula Sabah, Sarawak, ditambah Penang dan Wilayah.
Negeri lain tak boleh, kerana ada enakmen larang guna 'Allah' dari dulu lagi.
Pihak Kristian tak terima, nak ambil semua.

Tarikh ditetap.
Mahkamah Rayuan kata tak boleh guna.
Muslim gembira, Kristian marah.
Dunia tetap heboh.

Kerajaan kini di kedudukan kukuh.
Buat tawaran kepada Kristian:
Dulu masa mahkamah kata boleh guna, kamu terima bulat-bulat.
Bila Nazri kata boleh pakai setengah tempat kamu tolak.
Sekarang mahkamah dah tutup pintu keseluruhannya.

Tapi kerajaan baik: Boleh ajak runding.
Ini kan kerajaan BN. Eh wah.
Kamu boleh gunakan - di tiga negeri dan Wilayah yang tak ada enakmen.
Tapi awas, jangan sampai meletup lagi.
Ini amaran keras (Takkan pula beri amaran lembik, kan?)
Di negeri lain, pastikan di tempat tertutup.
Jika tidak, kamu lihat sendiri kemarahan Muslim.

Kalau kamu tak terima, payah.
Masyarakat terus berpecah.
1Malaysia jadi WanedMalaysia.

Gereja bincang-bincang.
Pembangkang bising-bising.
Nak demo kecut (Amaran, wadoi, semakin 'keras').
Akhirnya Kristian terima.

Negara retak, tetapi tak hancur.
Luka, tapi tak bernanah.
Cerita berakhir.

Fakta atau konspirasi?
Kan aku dah kata permulaan tadi:
Ada setan berbisik....
Opocot!

Friday, January 15, 2010

Krisis besar, atau Business As Usual?

AHAD 11.10pagi
-------------------------------------------------------

Saya menunggu hari ini, Ahad, sebelum meluahkan perasaan.
Hari ini dah genap 10 hari sejak gereja dibakar di Malaysia dan tiga lain diserang. Maknanya dah satu-pertiga dari sebulan. One-third.
Kalau kita makan nasi, ditahap satu-pertiga paling syiok. Dah dapat rasa lauknya semua tetapi belum kenyang!

Tapi ini cerita membimbangkan, bukan cerita makan asam pedas ikan merah:
Tidak pernah dalam sejarah Malaysia gereja di serang, dan begitu banyak pula.
Dan selalunya pergeseran agama adalah pendek dan cepat - baik di Kampung Medan 2001, mahupun apabila budak-budak gila menyerang kuil di Kerling dalam tahun 1977.
Masjid pun dah kena serang - satu surau di Klang, satu masjid di Sarawak.

Tetapi dah 10 hari, kerajaan terus business as usual. Maaf jika saya tersilap, itu pandangan orang kerdil seperti saya.
Kerajaan kata nak tunggu hingga kes dibawa ke Mahkamah Rayuan.

Yang saya khuatir kenapa tak dengar desas-desus bahawa orang kerajaan sedang dalam perbincangan dengan pihak Kristian dan Islam untuk meleraikan perkara ini yang telah membusukkan nama negara dan membahayakan orang ramai.
Tetapi walaupun wartawan tak dengar desas-desus, saya harap memang ada orang di atas tu sedang mengadakan pertemuan-pertemuan sulit nak selesaikan isu ini.
Saya kata gini sebab saya sayangkan Malaysia, bukan nak kritik kerajaan selalu.
Gusar hati apabila nampak perkembangan dari pihak kerajaan nampaknya v e r y s l o w.


Sedangkan orang PAS lebih bijak lagi.
Saya angkat songkok kat PAS.
Seorang pemimpin mereka dah pun bercakap di depan pihak Kristian dalam gereja - di sini.
Dan Nik Aziz Nik Mat - lihat cerita di bawah posting ini - dah panggil nak makan minum dengan paderi, sami dan ulama.
Dan Nik Aziz - tak kisahlah kita tabik beliau atau rasa beliau pentingkan keluarga saja - ada gambar beliau melawat SFX di PJ yang diserang.
Apa tu SFX? Saya pun tahu hanya seminggu dulu. Tetapi pada orang Kristian Katholik ini gereja penting. Saint Francis Xavier church.

Mari kita bersama -
Sejukkan hati, ubatkan kelukaan umat Muslim dan Kristian.


-------------------------------------------------------
POSTING AWAL

Isu Allah ni krisis untuk Malaysia.
Krisis besar.

Kerja saya membaca akhbar banyak negara - kau buka sajalah akhbar mana online, Malaysia kena hentam macam-macam tentang isu ini.
India, Indonesia, Turkey, Philippines, Amerika, Thailand.
Bukan saja mereka kata orang Melayu bodoh (oops!) kerana nak monopoli perkataan Allah ni, yang lebih teruk kenapa banyak sangat serangan - walapun kecil - ke atas gereja.

Rakankerja saya di Amerika memberitahu - Fox TV (yang paling popular di sana) memainkan cerita 'Churches in Malaysia attacked'.
"No one will go there after this".

Imej negara rosak, pelabur pun tentu terkejut, dan nama Islam - dah memang gelap sejak 10 tahun ini - semakin mendung lagi di dunia.
Malaysia negara 'moderate Islam'? Selepas isu ini, saya tak tahulah.

Tetapi dalam hari dah hujan lebat ini pun, urusan kerajaan dan negara mesti diteruskan.
Tetapi saya terkejut kerana sejak beberapa hari ini kedua-dua PM Najib Razak dan Timbalan PM Muhyiddin Yassin ke luar negeri.

Ya, betul. Rancangan dah dibuat dulu lagi, dan kalau cancel susah nak buat rancangan baru.
Dan kalau cancel pula, takut pulak nampak kerajaan ni macam dalam krisis besar sangat.
Jadi nak tunjukkan 'It's business as usual' lah.

Dan lebih-lebih lagi pertemuan ketua negara yang dirancangkan oleh PM Najib.
Susah nak arrange.
Beliau bertemu dengan ketua negara Saudi, Abu Dhabi dan lepas itu India.

TPM Muhyiddin pula ke UK - bertemu pelabur, hadir di forum pelajaran, bertemu rakyat Malaysia.

Tetapi dalam krisis negara sebesar ini - di mana 60 peratus rakyat (orang Muslim) marah dan berpecah, dan 40 peratus penduduk lain marah sebab penyerangan tak berhenti - pada saya yang kerdil ini, sepatutnya salah seorang daripada mereka duduk di dalam negara saja.
Kalau nak keluar pun, jangan biarkan kedua-duanya tak ada dalam negeri pada masa yang sama.

- Jadi menunjukkan kepada rakyat Malaysia dan pemerhati luar bahawa isu ini sedang ditangani oleh menteri Kabinet kanan.
- Atau jika memang tak boleh elakkan keluar negara, tolonglah canangkan kepada media bahawa 'Walaupun di luar negeri, saya berhubung secara kerap dengan menteri-menteri dan polis dalam isu ini'.
- Mungkin juga katakan 'Walaupun terpaksa bertugas di tempat lain, isu ini sedang dalam pemerhatian rapi dan pegawai atasan saya sedang terus berbincang cara nak mengatasinya'.

Jika tidak, tengok apa dah jadi.
Menteri di Pejabat PM Nazri Aziz dah memberi pendapatnya.
Beliau ditanya wartawan. Maka beliau memberi pandangan.
Yang kita tak tahu, ini pendapat peribadi atau keputusan Kabinet?
Ia merumitkan isu lagi.

Dan lihat di sini, pihak Kristian dah tolak pun.
Kan memalukan kerajaan.
Jadi siapa sebenarnya wakil ketua kerajaan sekarang ini?
Jika ada yang kata bahawa kerajaan tak serius menangani isu ni, marah pula depa!

Tak kisah juga?
Lihat ni: Sedangkan kerajaan Umno s l o w nak memujuk hati pengundi bukan Islam, PAS dah bergerak pun.
Nik Aziz Nik Mat nak jumpa dan makan lewat-pagi dengan lebih 20 orang ketua agama lain di Kota Baru tak lama lagi. Ulama, paderi, sami akan duduk bersama.
Tulisan akhbar saya tentang isu ini di sini.
Ish ish ish.

Friday, August 28, 2009

Orang Umno Selangor, PM Najib & Khalid Ibrahim

SOALAN 1

Selepas insiden seperti yang terjadi di Shah Alam, di mana kepala lembu telah dipolitikkan, semua orang tentu bertanya sama ada ini kerja (maaf kata) Umno Selangor.
Sama ada Khir Toyo sedang khusyuk berpuasa dan bertasbih di masjid atau di istananya, orang tak kisah. Desas-desus bahawa ini kerja Umno dah keluar pun dari semalam lagi.
Kasihan juga parti terbesar di Malaysia ni. Depa duduk diam-diam pun orang tak percaya.

Tapi tak apa jika orang tuduh melulu. Depa dari pembangkang ni memang kurang ajar.
Baiklah ianya ditepis dengan cara gentleman.
Jadi kita nak dengar apa kata Khir Toyo sebagai supremo Selangor Darul Terkejut.
Adakah beliau akan mengutuk tunjuk perasaan yang mengguris masyarakat Hindu India - seperti musuh politiknya Khairy Jamaluddin telah mengutuk tindakan itu?
Atau cuma kata beliau tidak terlibat, tetapi tidak mengutuk?

Adakah beliau setuju, demi membantu masyarakat Melayu-Islam Seksyen 19 (di depan rumah orang), bahawa kuil itu dipindahkan ke Seksyen 23 di mana ianya akan dibina 200m dari rumah terdekat?
Atau beliau akan berkata ianya harus dipindah saja ke Seksyen 22 sepertimana rancangan kerajaan Umno-BN dulu?
Beliau tentu fasih tentang isu ini kerana pernah jadi Menteri sangat Besar.

Dan saya rasa Umno sebagai sebuah parti (menerusi Majlis Tertinggi) harus kondem cara demonstrasi jalanan seperti ini. Bahaya beb. PKR dah kutuk pun.



SOALAN 2

PM Najib Razak telahpun menunjukkan bahawa beliau marah dengan isu mempermainkan agama orang lain.
Sekarang kita hendak dengar pula suara Timbalan PM Muhyiddin Yassin.
Tan Sri, tolong kutuk juga.
Atau beliau akan kutuk saja kerajaan Pakatan Selangor kerana kurang sensitif kepada masyarakat Islam Seksyen 23, tetapi tidak mengutuk tindakan penunjuk perasaan?

PM Najib dan TPM Muhyiddin pun belum komen tentang pertemuan dengan Anwar Ibrahim. Saya PASTI (confirmed) perjumpaan itu memang telah berlaku.
Blogger Aisehman kata di sini bahawa sejak perjumpaan itu Najib tak banyak serang pembangkang, sedangkan Muhyiddin menyelar Anwar sebagai pembelot kepada orang Melayu.



SOALAN 3

Apa pula kata Abang Polis?
Saya memang selalu belas dengan puak ini kerana seperti kepala lembu, institusi polis telah lama dipolitikkan.
Mereka tangkap penunjuk perasaan, dituduh anti-pembangkang.
Tak tangkap dituduh takut dengan Umno.

Katanya ramai polis semalam di Shah Alam mengelilingi lembu-lembu yang menunjuk perasaan dengan kepala lembu tu. Tetapi tak ada yang ditangkap.
Tak sembur water cannon. Tak tembak gas pemedih mata.
Tak asak pun.
Lor, apa dah jadi?
Lepas tu ketua polis Selangor Khalid Abu Bakar membuat satu statement yang mengejutkan.
Malaysiakini:
As of now, Khalid said no police report has been lodged over the incident.
"If a report is lodged, we will definitely take the necessary action," he stressed.

Huh? Nak tunggu laporan polis sebelum bertindak?
Tapi tak apa, seperti saya kata kasihan Abang Polis ni.
Maka itu kita transfer cerita ini kepada menteri yang jaga polis, Hishammuddin Hussein Onn.
Apa kata beliau?
Kutuk atau hanya bertutur: 'Polis AKAN ambil tindakan keras'.


---------------------------------------------------------

Seperti isu Kartika nak dirotan, isu ini dah jadi bahan berita antarabangsa. Adakah sekali lagi kerajaan akan rilek dan terus dibantai di persada dunia sebelum nak membuat reaksi yang menyejukkan hati pemerhati luar.
Takut jika lambat reaksi yang jitu, pelabur, pelancong dan orang yang simpati dan sayang dengan Malaysia (seperti saya) rasa gusar lagi.
Minggu lalu, Malaysia nak rotan perempuan. Lepas tu diharamkan konsert Black Eyed Peas dan Michael Learns To Rock (ini Pemuda PAS). Terbaru, dijadikan pegawai masjid Selangor boleh tangkap orang minum arak. Lepas tu parti besar Cina berpecah dua, apa lagi nak jadi?

---------------------------------------------------------

SOALAN 4

Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor, dan PKR serta Pakatan pun sebenarnya tak dapat lepas lari dari isu ini.
Memang senang nak menuduh melulu ini kerja Umno.

Tetapi biar saya kata terang-terangan: Sejak 17 bulan Pakatan mempunyai kuasa lebih besar di Malaysia, ramai orang Melayu-Islam yang saya jumpa - bila berehat di KL dan merayap satu Malaysia buat laporan, dan juga di blog-blog - tak puas hati.
Mereka kata sejak Pakatan ni jadi kuat, bangsa Cina dan India terus mengasak kedudukan Melayu dan hendak melemahkan kedudukan Melayu dan Islam.
Memang betul ada privilege Melayu yang berlebihan dan tak adil (seperti AP kereta), tetapi kenapa semua nampaknya nak dibuang dalam sekelip mata?

Orang Pakatan jika ditanya menjawab: ini 'kerja Umno' atau itu hanya perasaan segelintir.
Atau, tak 'yah lah main isu bangsa lagi kerana rakyat kini dah matang.
Saya tak rasa begitu.

Maksudnya, memang Umno ada cucuk jarum, tetapi telah sekian lama orang Melayu (melalui Umno-BN) berkuasa penuh. Jadi jika kedudukan mereka dihikis dengan cepat begini, mereka tentu marah.
Saya rasa lebih baik berjalan dengan perlahan sedikit dalam isu ini.


---------------------------------------------------------
Untuk Umno-BN

Memang betul takut undi Cina dan India tak kembali ke Umno-BN. Tetapi jika mereka kembali ke pangkuan sedangkan orang Melayu rasa disepikan, masalah lain timbul.

Di sini, maaf kata, orang Umno boleh lihat cara Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng membuat kerja.
Dia cuba memujuk orang Melayu - memberi bantuan kewangan kepada yang miskin, dan memberi wang saguhati kepada hufaz (penghafal Quran), misalnya. Pengundi yang tak mahu dengan beliau.
Tetapi beliau tidak pula dilihat mengabaikan pengundi Cina.

Begitu juga dengan apa yang dibuat oleh PM Najib menarik balik atau mengurangkan isu-isu yang mengaitkan bumiputera dalam business dan investment sejak kebelakangan ini.
Slow sikit, To' Sri.
Biar orang Melayu dapat bernafas sikit.

(Saya debat begini bukan nak halalkan tunjuk perasaan kepala lembu, tetapi khuatir ia dipolitikkan oleh yang merasakan Melayu kian tersepit di 'Tanah Melayu'.)