Thursday, November 12, 2009
Wartawan berduyun di APEC; jumpa rakan lama
Daripada puluhan, naik ke ratusan.
Hari ini, Jumaat, nampaknya wartawan yang berkumpul di Suntec City Singapura akan menjadi ribuan - mungkin lebih ramai dari pegawai APEC.
Punyalah banyak meeting, sampai saya pun dah pening.
Sidang puncak akan berterusan sehingga Ahad ini.
Mereka datang daripada 21 buah negara - dari ekonomi (TIDAK boleh dipanggil NEGARA) kecil seperti Temasek dan Chinese Taipei/Taiwan dan Hong Kong, kepada yang terletak di Amerika Selatan iaitu Peru dan Chile, dan tiga ekonomi yang terbesar di dunia - Amerika, Jepun dan China.
Lepas tu kau campurkan bekas negara komunis Russia, dan yang terselit kat hujung, New Zealand, barulah kita faham betapa besaunya perjumpaan APEC ni.
Nak jadi anggota mestilah menjadi ekonomi yang terletak di pinggir Lautan Pasifik - kan nama pertubuhan ini Asia Pacific Economic Cooperation.
Hari Rabu kelmarin syiok dapat hadir di sidang media Hillary Clinton, Setiausaha Negara Amerika.
Wanita ini nampak besau kat TV, rupa-rupanya orang betulnya cuma makcik kecik aje - hanya tinggi sikit dan lawa sikit dari ibu saya.
Cuma beliau ni ada gorila Secret Service jadi bodyguard. Mamat ni saya tengok pun dah takut.
Dan seorang lagi bodyguardnya ialah seorang wanita tinggi (atau mungkin saya ni pendek).
Yang lain duduk campur dengan wartawan lain.
Saya ingat saya seorang yang minat dengan Hillary. Tetapi rupanya ratusan lain pun sama - masuk dalam hall press conference walaupun bukan nak tulis cerita.
Maklumlah Maam Glam, si Hillary ni. Beliau duduk kat Starbucks di Suntec City, walaupun tak membeli kopi, pun jadi cerita besar satu dunia!
Yang aku beli latte, duduk di tempat yang sama hanya beberapa jam sebelum itu, tak ada orang kisah pun.
PM Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor, the Mother Teresa of Malaysia (kalau you yang jumpa kotak tu belum tahu lagi nak kembalikan), dah pun tiba di sini.
Dan The Big O, Obama, akan mendarat lewat malam esok. Yahoo.
Kalau nak baca - Ini yang saya tulis di akhbar kami - di sini dan sini (cerita dipotong pendek di internet, nak baca penuh kena beli akhbarnya).
GAMBAR: Besar Media Centre di Suntec City ini, boleh tempatkan 300 wartawan. Pandangan di tingkat enam dengan puluhan sibuk bekerja (atau mungkin mereka baca blog Pak Bakaq, tapi olok-olok kerja).
Ratusan lagi tak nampak di gambar ini sebab mereka menyewa bilik-bilik khas agar dapat menulis dengan tenteram. Ini termasuk agensi berita asing seperti Xinhua News Agency, Associated Press dan Kyodo, atau stesen TV seperti CNBC, Al Jazeera English dan Channel News Asia.
Sebuah bilik kecil dengan satu meja yang boleh masuk enam orang saja, sewanya S$3,500/RM8,000. Ini harga sewa SETIAP HARI, dan APEC berlangsung selama seminggu! Adoi.
Sebab mahal sangat, akhbar kami tak sewa bilik - duduk kat tengah-tengah khalayak ramai tu.
Akhbar kami saja ada 37 wartawan yang membuat liputan - kontinjen paling besar, maklumlah akhbar terbesar di Tenggara Asia dan 'host media'.
Tak semua duduk di sini - yang bos-bos kami kat ofis dan ramai lagi kena kejar menteri dan pegawai.
Nama-nama akhbar dan stesen TV yang pelik-pelik banyak - maklumlah dari 21 negara. Macam-macam suara manusiawi di sini.
Yang dah bertahun tak jumpa pun saya bertemu di sini.
Ramai juga mamat, ah moi dan mat salleh yang saya dah lupa nama, tetapi maklumlah saya (ahem) wartawan terbilang, gemilang dan dari Geylang - mereka ingat dan sapa saya.
Saya pun main wayang macam masih ingat!
- Ada satu minah lawa Jepun dari akhbar Nikkei ke Asahi Shimbun lupa nama dia. Dia tegur tapi tak ingat langsung. Mungkin Mayuki, Mayuko, ke apa nama depa.
Baru kejap ni google baru jumpa nama dia - Mayuko Tani dari Nikkei-Nihon Keizai Shimbun. Akhbar Nikkei ni yang terbesar di Jepun.
- Ada satu pula minah bertudung yang anda pasti jumpa jika ada forum atau seminar ekonomi besar - baik di Singapore, Malaysia atau mana pun di Asia ni.
Namanya ialah Shamim Adam dan beliau bekerja dengan Bloomberg - agensi berita kewangan terbesar di dunia. Tak tahu penat si Shamim ni.
Siang malam dia cari pegawai atau menteri yang kena mengena dengan kewangan atau perdagangan.
Perkara pertama yang beliau tanya saya apabila jumpa first time dalam setahun kelmarin, bukan: 'You makin hensome, apa rahsia?', tetapi 'Have you seen the New Zealand finance minister?'
Baca cerita tulisan budak Singapore ni pun belum tahu faham! Di sini dan sini.
- Yang satu rakan pula, saya kenal dari jauh, cuma rambutnya dah kurang. Shahriman Johari dari NST di bandar glam KL.
Yang peliknya, beliau datang terus nak bayar hutang dengan saya! Saya tak ingat bila dia pinjam duit.
Katanya beliau pinjam RM200 semasa pilihanraya 2004 dulu semasa beliau dengan Reuters dan kami berdua di Kelantan! Maknanya dah lima tahun tak jumpa.
Saya kata - Aku tak ingat pun, tapi kau kasi duit aku ambil juga. Biar kau dapat lena tidur.
- Saya juga bertemu dengan seorang lagi yang rambutnya dah tipis di atas. Shoeb Kagda, dulu wartawan Business Times Singapore (BT), lepas itu beliau ke majalah pelaburan, dan kemudian lari ke Jakarta sebagai koresponden BT. Kini dah kawin wanita Jakarta dan bekerja sambilan dengan majalah Globe Asia - anak syarikat The Jakarta Globe.
- Boss lama saya di Reuters KL juga ada di sini. Bill Tarrant selepas menjadi ketua buro di KL, lompat ke Seoul, lepas tu dah bertahun bekerja dengan syarikat sama di Temasek. Kini pangkat banyak besar.
Dan beliau menceritakan ada benda baru yang nak dibuat Reuters - wartawan akan kena menulis Live Blogging dan Twitter.
Ini projek di bawah jagaan Bill, warga Amerika yang berkahwin dengan seorang doktor Punjabi di Seremban. Beliau boleh berbahasa Melayu/Indonesia sebab pernah juga bekerja di Jakarta.
Akhbar kami pernah membuat Live Blogging semasa kekecohan di Thailand dulu (sidang Asean ditunda selepas kumpulan Red Shirts mengamuk). Di bawah jagaan saya. Boleh mati, brader, sebab sesak nak buat Live Blogging ni. Nak gi toilet pun tak boleh!
Saya dah setahun menjadi pengelola blogging di akhbar saya untuk Meja Luar Negeri (Foreign Desk).
Cerita Blogs From Around The World dari para koresponden dilihat mata saya dulu (melainkan saya off hari itu) sebelum diterbitkan.
- Di Media Centre APEC, cerita paling lawak ialah ada seorang minah bertudung lambai-lambai kat saya - ooi, aku ingat aku lawa. Bila beliau datang dekat, kami pun berbual.
Saya tanya (sebab saya pasti ini mesti wartawan Malaysia) - Hang duduk kat hotel mana?
Dia jawab - Kita orang Singapore, duduk kat rumahlah.
Lepas berbual 5minit baru teringat.
Rupa-rupanya sahabat lama saya Mohaini, office manager Reuters Singapore. Dah sembilan tahun tak jumpa sejak saya keluar Reuters May 2000. Eeee, malu aku.
Labels:
journalists,
Singapore,
trade
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment