Wednesday, October 14, 2009

Cerita dari Padang - Apabila maut dah tiba....



Ini cerita lagi dari Sumatra Barat, *provinsi Earthquake Central di Indonesia.
Selepas membaca cerita ini, saya pasti anda juga akan bertaubat (walau seminit) bahawa - Bila maut dah tiba, tak guna nak lari ke mana pun.

*[Jika di Malaysia ada 13 negeri, Indonesia ada 33 provinsi (province) - di satu hujung ialah Provinsi Aceh, di hujung sana pula ialah Provinsi Papua.
Di bawah provinsi ada kabupaten (regency), di bawahnya ialah kacamatan (district).
Selepas kacamatan ada erte dan erwe = RT dan RW = Rukun Tetangga dan Rukun Warga.
Kad IC Malaysia hanya perlu ada nama, alamat rumah, negeri.
Dalam IC Indonesia - ada provinsi, kabupaten, kacamatan, RT/RW. Maklumlah negara gede (besar)].


Semasa di sana minggu lalu, soalan yang saya kerap tanyakan kepada orang Sumbar (Sumatra Barat) ialah:
'Tak takut ke dengan gempa? Kenapa tak pindah saja ke tempat lain yang lebih selamat?'
Saya bertanya soalan ini kepada hampir semua orang yang saya jumpa.

Dalam 2005 Sumbar kena gempa, 2007 lagi sekali, dan 2009 ini yang paling teruk dalam sejarahnya - skala 7.6, atau jika ikut skala Richter 7.9.
Dah lah tu, kota Padang, ibu negeri Sumbar, duduk di tepi Lautan Hindi yang luas. Maknanya setiap kali ada gempa besar, semua orang panik kerana kemungkinan tsunami!!!

Orang yang saya tanyakan - sama ada pemilik gedung, pesawah atau rakyat tepi jalan - semua menyatakan gempa 30 Sept 2009 ialah yang paling teruk dalam sejarah hidup mereka kerana:
1) Dalam kejadian selama 30 saat itu, ia tidak seperti gempa yang lalu di mana ia bermula slow, lepas tu naik puncak gegaran yang kuat, lepas tu slow kembali.
Kali ini, dari mula hingga akhir gempa itu kuat sekali dan terus menerus!
2) Selain menggegar tanah, gempa kali ini juga menghayun bumi.
Iaitu kalau orang yang berdiri boleh jatuh! Ada yang berkata nampak jalanraya berhayun seperti ular berjalan!
Takuttttttt.

Jawapan yang diberikan kenapa mereka tak akan bepindah adalah:
1) Kami orang miskin, nak pindah mana? Mana ada kemampuan nak pindah?
Ini jawapan golongan di bawah, pemilik tanah sawah kecil.
Samalah seperti kita di Singapore atau Malaysia. Senanglah orang yang kaya berkata: Kalau aku tak suka dengan pemerintah-kerajaan, aku pindah ke Australia atau London. Kroni Pak Lah dan Anwar pun ada yang dah beli rumah di Australia dan London! Maklumlah harta jatuh dari langit.
Tetapi golongan biasa seperti saya nak pindah ke mana? Tak mampu, tentunya.
Tetapi itu jawapan segelintir saja orang Sumbar.

2) Lebih ramai yang menyatakan: Ini tanah tumpah darahku. Biar aku mati di sini dari mati di rantau, macam Isa Samad (eeks, sebenarnya mereka tak sebut Isa, saya yang pandai-pandai letak. Kahkahkah).
Orang Sumbar kebanyakannya kaum Minang - rumah orang kaya dan pejabat pemerintah dia semua cantik habis berbumbung Minangkabau.
Orang Minang ni memang terkenal dengan dendang perantaunya - terutama bagi kaum lelaki mereka.
Mereka berkata dalam sesebuah keluarga di zaman dulu, jika ada adik beradik lelaki, dipandang hina jika dah besar tetapi masih terus menetap di rumah emak. Kena merantau cari harta.
Itupun, Ranah Minang (Tanah Minang) tetap tanah tumpah darah mereka.
Gempa itu dianggap sebahagian dari hidup.
Cuma yang saya lihat - rumah mereka di Padang hingga ke Bukittinggi ni, yang paling tinggi ialah tiga tingkat! Cuma hotel dan mall saja yang mencecah hingga 7, 8 tingkat.

3) Dan kerana mereka Muslim, mereka juga berkata: Kalau dah sampai ajal, duduk mana pun malaikat maut akan sambar.
Cerita yang paling mengejutkan saya (wartawan macam-macam cerita kami dengar, tetapi ini sungguh mengejutkan saya) ialah yang disampaikan pemilik kedai perabot/furniture shop.
Kedai beliau, Istana Perabot di kota Padang, betul-betul di tepi Plaza Andalas - mall terbesar di Padang yang rosak teruk dan kini ditutup untuk repair.
Saya sempat duduk interview dengan beliau dan bertanya: Kenapa tak pindah saja, tuan?

Cerita tauke kedai perabot ini, M. Rasyid Umar:
Ada keponakan (anak saudara) beliau yang selepas gempa 2005 terus berpindah ke Jakarta. Dia menjual asetnya, tentunya seorang businessman juga, dan membawa lari keluarganya sekali.
Ini empat tahun dulu.
Beliau enggan memberi detail nama dan business keponakannya itu kerana khuatir ia keluar di akhbar, katanya.

Tetapi tak semua asetnya itu dapat dijual sekali gus.
Jadi pada 29 Sept lalu (3minggu lalu), beliau tiba di Padang dari Jakarta kerana ada deal nak menjual aset ini.
Di check-in ke Hotel Ambacang, yang paling kerap digunakan parawisata (tourists) di Padang. Tetapi kerana aircon bilik dikatakan tak sejuk, maka dia keluar dan check-in ke Hotel Mariani Internasional (juga popular dengan parawisata) pada keesokannya, 30 Sept.
Pagi itu dia check in, petang itu sedang mandi apabila GEMPA BERLAKU.

Hotel Mariani ada dua bangunan. Bangunan yang lamanya, tiga tingkat dan siap 37 tahun lalu TIDAK ROBOH.
Bangunan baru hotel ini (the new wing), empat tingkat dan baru siap SETAHUN!, ROBOH seluruhnya.
Keponakan dari Jakarta itu di new wing yang runtuh. Dia maut.
Hanya dua orang maut di Hotel Mariani. Salah seorangnya ialah orang Minang yang telah melarikan diri ke Jakarta sembilan tahun lalu, tetapi dipanggil tanah tumpah darahnya buat kali terakhir.
Hotel Ambacang juga runtuh! Lebih kurang 100 orang maut di sini, kebanyakannya peserta dua seminar.

Inna lillah wa inna ilaihi rojiun (From God we came, and unto Him shall we return).


GAMBAR: Tajam dan runcing penghujung bumbung Rumah Gadang, orang Minang. Kalau cicak jatuh, mati terpacak.
Di Ranah Minang (Tanah Minang), menurut pengamatan saya, bangunan pemerintah banyak designnya seperti ini. Dan banyak restoran besar dan rumah orang kaya pun sedemikian rupa.
Dan secara tradisinya, di tepi rumah gadang ialah sebuah bangunan kecil seperti dalam gambar ini. Bukan toilet lah, ianya untuk menyimpan padi.

No comments:

Post a Comment